Khabar Dari Jordan (1)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Saturday, November 21, 2009

GERAKAN MAHASISWA DI MALAYSIA


Muqaddimah

Gerakan mahasiswa merupakan suatu anasir terpenting di dalam menentukan hala tuju sesebuah masyarakat. Mahasiswa adalah agen perubahan.Mereka dianggap jurubicara ummah. Suara pelajar adalah 'suara keramat'.Lantaran itu mahasiswa perlulah dibangkitkan dari lena mereka. Tanggungjawab dan perjuangan mereka perlulah diperjelaskan supaya mereka tidak terus hanyut di dalam angan-angan kebendaan semata-mata. Kertas ini merupakan satu pendedahan awal, perjuangan yang telah dilalui oleh gerakan mahasiswa untuk beberapa dekad semoga akan dapat membuka minda sebahagian besar kalangan mahasiswa yang masih teraba-raba di dalam pencariannya.

Kebangkitan Awal Era 60an.

Universiti Malaya telah menjadi tapak awal kebangkitan gerakan mahasiswa di negara ini selepas kemerdekaan. Mahasiswa UM telah memulakan tradisi mencabar mulai tahun 1961 apabila berlaku pertambahan bilangan penuntut di UM melebihi seribu orang.
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) telah lahir sebagai gerakan mahasiswa paling dominan dalam menjuarai kemahuan para mahasiswa. Melalui PMUM mahasiswa telah menyalurkan segala kemahuan mereka. Pada masa yang sama muncul beberapa persatuan lain yang mahu menyaingi PMUM.

Dalam tahun 1963 PMUM telah membantah perletakkan jawatan Naib Cancelor Universiti Singapura dan pada tahun berikutnya mereka telah berdemontrasi membantah lawatan Duke of Edinburgh. Ketika yang sama,telah muncul Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya(PBMUM) yang bukan sahaja memperjuangkan isu bahasa tetapi turut juga terlibat dalam bidang politik dan Iain-lain lagi. Menurut Hasan Karim,gerakan mahasiswa telah terserlah sebagai gerakan sosial dan politik bermula pada tahun 1966 dengan tertubuhnya Sudut Pidato (Speaker Corner) di UM. Melalui ruangan ini mahasiswa boleh menyalurkan dan meluahkan isi hati mereka dalam semua perkara sama ada masalah jabatan, fakulti, kampus, asrama sehinggalah ke masalah negara. Bekas aktivis pelajar Kamaruzzaman Yaakob berkata, Sudut Pidato adalah lambang kebebasan bersuara kepada pelajar. Ruangan ini telah berjaya melahirkan ramai pemimpin-pemimpin berbakat. Segala tindakan dan sikap mahasiswa ketika itu berkait rapat dengan perbahasan-perbahasan di ruangan ini.

Mahasiswa terus melangkah setapak lagi selepas kemunculan Kelab Sosialis (KS) di UM. Dua tokoh utamanya iaitu Syed Hamid Ali dan Sanusi Osman berjaya menempatkan diri ke jawatan penting di dalam dua buah persatuan utama di UM. Kejayaan mereka ini telah mendorong kepada keterlibatan pelajar di dalam Peristiwa Hamid Tuah (Telok Gong) pada Oktober 1967. Sekitar tahun 1969, berbelas-belas rapat umum telah diadakan oleh mahasiswa. Mereka turut mengemukakan manifesto mereka dalam Pilihanraya Umum pada tahun tersebut yang telah menyumbangkan kemenangan di pihak pembangkang. Beberapa orang pimpinan mahasiswa ditahan ekoran Demontrasi Anti Tunku pada 29 Ogos 1969. Pemecatan Dr Mahathir dan Musa Hitam oleh Tunku selepas peristiwa 13 Mei turut mendapat perhatian dari mahasiswa. Kritikan Dr Mahathir terhadap Tunku di dalam buku Malay Delima menarik minat mahasiswa.

Kesedaran Islam Dan AUKU (1971)

Pada awal tahun 70 an. Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim berjaya masuk ke gelanggang politik kampus.Untuk melangsungkan perjuangannya , Anwar bersama rakan-rakan di dalam Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Semalaysia (PKPIM) telah menubuhkan Angkatan Belia Islam (ABIM) pada tahun 1971yang berjaya mempengaruhi rentak dan perjuangan mahasiswa di negara ini serta menjadikan mereka lebih berani. Pada masa yang sama Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) memulakan satu perubahan di dalam perjuangan mahasiswa apabila mereka telah mempertegaskan dasar keislaman di dalam perjuangan mereka. Menurut Ramli Ibrahim, penegasan ini adalah satu peristiwa penting kepada perjuangan mahasiswa di negara ini.

Kemaraan gerakan pelajar telah cuba disekat dengan mewartakan Akta Universiti Dan Kolej pada 18 Mac 1971. Namun perjuangan mereka tetap diteruskan.Di bawah pimpinan Ustaz Ismail Mina, PMIUM telah mengadakan demontrasi besar-besaran di luar kampus dengan dihadiri oleh ribuan pelajar pada 14 Jun 1971 bagi membantah lawatan Perdana Menteri Thai yang dikatakan bertanggungjawab ke atas penindasan umat Islam di Patani. Mahasiswa juga turut terlibat menentang campurtangan Amerika Syarikat dalam Krisis Arab-Israel. Pada bulan Oktober 1974 beribu-ribu pelajar telah berdemontrasi di hadapan Kedutaan Amerika. Mereka juga mendesak kerajaan supaya menutup Pusat Kebudayaan Lincoln yang dikatakan menjadi pusat perisikan CIA.

Menjuarai Perjuangan Rakyat

Sekitar tahun 1974 mahasiswa UKM tidak ketinggalan dalam menjuarai perjuangan rakyat dan isu-isu politik tanahair. Di bawah pimpinan Abdul Halim Arshad PMUKM telah berkonfrantasi dengan Dato' Harun Idris dalam isu pembalakkan haram di Bangi. Mereka turut menentang perlantikan Dato' Abdullah Ayub sebagai Naib Cancelor UKM.
Pemimpin pelajar seperti Abd Rahman Rukaini dan Idris Jauzi telah memainkan peranan melontarkan isu ini ke tengah masyarakat kampus. Isu ini turut dieksploitasi oleh PMUM. Keprihatinan mahasiswa dalam menangani isu-isu berkaitan kepentingan rakyat jelata mendorong masyarakat meletakkan kepercayaan kepada mahasiswa untuk membela nasib mereka. Dalam peristiwa yang berlaku di Tasik Utara, Johor golongan setinggan telah menghubungi PMUM untuk mempertahankan tanah mereka yang dirampas.

Di bawah pimpinan Hishamudin Rais dan dengan sokongan dari berbagai persatuan pelajar termasuk PMUKM, PMITM, PMUSM, PMUPM dan Persatuan Mahasiswa Universiti Singapura, mahasiswa turun beramai-ramai dan berkhemah bersama setinggan-setinggan di Tasik Utara. Walaupun berlaku penangkapan dalam peristiwa September 1974, ianya sedikitpun tidak mengendurkan perjuangan mahasiswa. Mahasiswa terus bertindak dalam Peristiwa Baling yang bermula pada 19 November 1974. Pada 1 Disember 1974 lebih 30,000 petani bersama mahasiswa berhimpun di Pekan Baling menuntut hak mereka. Dalam demontrasi besar-besaran di Padang Kelab Selangor pada 3 Disember 1974, mahasiswa telah mendesak kerajaan supaya segera menangani masalah inflasi dan menaikkan harga getah ke kadar yang munasabah. Mereka juga mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan terhadap menteri-menteri yang terlibat dengan rasuah. Lebih 1000 mahasiswa ditangkap. Turut ditangkap ialah pemimpin Abim dan pensyarah-pensyarah Universiti.


AUKU (1975) Dan Kesan Kebangkitan Islam

Untuk menghalang kemaraan pelajar, AUKU (1971) telah dipinda dan diwartakan pada 12 Mei 1975. Kerajaan turut membubarkan beberapa buah persatuan mahasiswa termasuk PMUKM. Presidennya Abd. Rahman Rukaini telah kenakan tahanan ISA. PMUKM dibenarkan untuk diwujudkan kembali selepas pilihanraya MPP (1976/77) di bawah pimpinan Fuad Hasan dan Abu Bakar Chik. Walaupun AUKU (1975) di rasakan dapat memperlahankan sedikit kelantangan mahasiswa.

Namun mulai pertangahan 70 an, arus kebangkitan Islam telah melanda seluruh kampus. Mahasiswa telah memperlihatkan kesungguhan mengkaji Islam dengan menterjemahkan dan menyebarkan karya-karya Syed Qutb, Hasan al-Banna, Maududi dan lain -lain tokoh gerakan Islam. Pimpinan gerakan Islam seperti PAS dan Abim begitu popular di kalangan mahasiswa. Haji Abd Hadi Awang sering diundang untuk memberikan ceramah di kampus-kampus. Stail pakaian Anwar pula turut menjadi ikutan. Kumpulan Islam di UKM telah menubuhkan Angkatan Tindakan Mahasiswa (ATMA) yang bersaing dengan golongan nasionalis di dalam Tindakan Siswa Bersatu (TSB).

Abim yang dianggap sayap PAS berjaya melebarkan pengaruhnya di kampus-kampus termasuk UTM. PMIUTM dan PMUTM yang dikuasai oleh mereka telah menerbitkan berbagai risalah seperti Suara PMIUTM, Risalah PMI, Mimbar Jumaat, Nada Kampus dan lainnya. Kumpulan Tabligh dan Arqam yang tidak berminat dengan politik juga muncul di UTM.
Tetapi kumpulan Islam menghadapi zaman kegelapan pada penghujung 70an apabila mereka gagal menguasai persatuan-persatuan di universiti. Lebih malang lagi apabila seorang tokoh belia Islam ,Ustaz Fadhil Mohd Nor disingkir dari jawatannya sebagai pensyarah.

Kepetahan Anuar Musa berpidato yang mewakili kumpulan nasionalis sederhana telah berjaya menempatkan dirinya kejawatan utama di dalam PMUTM. Ketika menghadapi Pilihanraya Umum 1978, Abim di bawah pimpinan Anwar bersama-sama gerakan mahasiswa merasakan PAS sebagai benteng pertahanan umat Islam wajar diselamatkan. Oleh itu mereka telah turun bersama bagi membantu kemenangan PAS. Abim turut meletakkan calonnya bertanding di
beberapa kawasan.



Ijtihad Anwar Dan Kesannya

Keputusan Anwar menyertai Umno pada 29 Mac 1982 telah mengejutkan arena politik tanahair. Di kalangan mahasiswa, tindakan itu disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada perjuangan mereka. Bagaimanapun terdapat juga golongan yang setia dengan Anwar menyokong tindakan tersebut. Ini mengakibatkan berlakunya perpecahan di kalangan kumpulan Islam. Perdebatan hangat berlaku antara kumpulan pro-Anwar dan penentangnya di dalam Muktamar PMIUM (1983). Hasil keputusan muktamar tersebut,telah menolak orang-orang Anwar dari menerajui PMIUM. Ustaz Mohd Husin telah dipilih untuk memimpin PMTUM pada sessi tersebut Perbalahan turut berlaku di dalam ATMA (UKM) antara kumpulan pro-Abim (Mustafa Kamil Ayub) dan pro-PAS (Wan Ismail Wan Jusuh). Kumpulan pro-PAS telah menubuhkan Islam Penyelamat Ummah (IPU) bagi meneruskan perjuangan mereka, manakala kumpulan aktivis Abim menguasai ATMA (Baru). IPU berjaya menjadi kumpulan paling dominan berbanding dengan ATMA dan kumpulan IRC.


Tindakan Anwar turut mendapat perhatian mahasiswa UTM yang mempunyai ramai pengikut Abim termasuk 'Abim Perlis’. Mahasiswa yang tidak berpuashati telah bertindak menyingkirkan kumpulan "Anwariyyun" dari menguasai PMIUTM. Selepas kemerosotan pengaruh Abim, kumpulan pro-PAS terpaksa menghadapi karenah IRC yang suka memperlekeh golongan ulama'. Pustaka Salam milik IRC bertanggungjawab menerbitkan buku tokoh-tokoh yang mereka sanjung untuk disebarkan. Antara yang popular ketika itu ialah Risalah Usrah tulisan Abu Urwah.

Dalam usaha untuk menerajui kepimpinan persatuan-persatuan mahasiswa, mereka telah mengamalkan dasar 'matlamat menghalalkan cara' dengan bekerjasama dengan kumpulan nasionalis untuk menjatuhkan kumpulan pro-PAS. Kumpulan IRC telah membelakangkan Majlis Syura yang mereka anggotai bersama dengan IPU di UKM. Mereka seringkali menganjurkan program-program diluar pengetahuan Majlis Syura lPU dan IRC akhirnya berpisah ketika Ustaz Idris Ahmad menerajui PMUKM( 1986/87).

Dalam tahun 1985, lapan siswi UTM telah dipecat kerana kesalahan memakai purdah. Ahmad Lutfi Othman, Setiausaha Agung PMUTM telah di amanahkan mengetuai Jawatankuasa Bertindak menangani isu tersebut. Lebih 3000 tanda tangan berjaya dikumpulkan. Tetapi Ahmad Lutfi menjadi mangsa kezaliman AUKU,apabila beliau telah disingkirkan dari pengajiannya. Mahasiswa turut kecewa kerana Menteri Pendidikan yang baru, Anwar Ibrahim gagal menyelesaikan isu tersebut.

Beliau yang lantang mengkntik AUKU suatu ketika dahulu juga tidak mampu berbuat apa-apa setelah berada di kerusi empuk. Kumpulan Islam terus menghadapi tekanan di universiti terutama dari Hal ehwal Pelajar (HEP) yang menjadi musuh tradisi mereka. Suasana ini dapat dilihat di UPM, ketika kumpulan Islam menguasai PMUPM di bawah pimpinan Mohd Soder Rahmat (1984/85) dan Saifuddin Nasation (1986/87) hak mereka seringkali dinafikan oleh HEP.


Mahasiswa Era 90an Suatu Harapan

Walaupun menghadapi tekanan, politik kampus terus dikuasai oleh kumpulan Islam terutama pada dekad 90an. PMUPM telah berada di zaman kegemilangannya di bawah pimpinan Raja Ismail Raja Shahadan 1992/93 dan 1994/95). Beliau turut terlibat mengepalai mahasiswa seluruh negara menentang Pengkopratan Universiti. Sepanjang 90an, mahasiswa terus terlibat menangani isu-isu global tanahair dan antarabangsa. Mereka terus berusaha menyingkirkan istilah-istilah negatif yang telah dilontarkan sebelum ini. Perubahan politik negara yang bermula dengan kejayaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) telah mendorong PMUKM menganjurkan Seminar Politik Peringkat Kebangsaan bagi mengkaji senario politik negara.

Mahasiswa terus menjadi jurubicara ummah apabila mereka turut terlibat mempertahankan Institut Berakan di Kuala Terengganu dari dirobohkan. Mereka juga turut bersama mempertahankan pencerobohan tanah Pantai Kundur di Melaka. Tindakan samseng Amerika dalam Perang Teluk turut mendapat tentangan. Demontrasi lebih 5000 umat Islam bersama mahasiswa di hadapan pintu masuk UM pada 4 April 1997 bagi membantah kedatangan pasukan kriket Israel ke negara ini adalah satu episod penting perjuangan mahasiswa di negara ini selepas pelaksanaan AUKU (1975). Mahasiswa dilihat terus berani untuk bersuara dan membuktikan,bahawa tiada perbezaan antara generasi mereka dengan generasi Anwar Ibrahim dan Hishamudin Rais.



PENUTUP

Di sepanjang sejarah gerakan mahasiswa, kita menyaksikan mereka tidak pernah berpisah dengan 'demontrasi'. Namun ianya tidaklah bermakna mahasiswa adalah golongan yang ganas, sebaliknya demontrasi hanyalah penyudah kepada segala usaha yang telah mereka lakukan sebelum itu. Demontrasi adalah lambang kepada keprihatinan mahasiswa. Kumpulan aktivis kampus yang suatu ketika dahulu dipandang negatif oleh kerajaan ternyata kini memberikan berbagai sumbangan kepada pembangunan negara dan sebahagiannya kini menerajui jawatan-jawatan penting di dalam berbagai institusi. Buat akhirnya,marilah kita renung ungkapan yang pernah disuarakan oleh bekas aktivis mahasiswa Ahmad Lutfi Othman:

"Mahasiswa bukanlah pelajar menengah atas yang boleh dicucuk hidung dan diperbodohkan. Mereka adalah generasi perubah yang sentiasa mengungguli kebenaran dan menentang kezaliman. Mahasiswa mempunyai agenda perjuangan yang tersendiri".

Copypaste & rujukan dari: Blog-blog mahasiswa dan blog ahli politik (link blog dirahsiakan).










Wassalam..

No comments:

Post a Comment

.::Imam Hassan Al-Banna::.

Demi Allah Yang Maha Esa, Sesungguhnya tidak disediakan jalan yang mudah untuk menuju cinta Mu..menitis air mata tatkala merindu…menitis air mata tatkala merasakan semakin menjauh…tetapi janji Allah tetap segar dan mekar tanpa pengkhianatan..kerana ku tetap yakini..Allah menyatakan “Wajiblah cintaKu kepada orang-orang yang berkasih sayang kepadaKu”