Harganya tidak mahal. Saiznya juga tidak besar.
Tidak semahal baju, tidak sebesar jubah.
Ia cuma sekeping kain yang digunakan untuk menutup wajah, kecuali sepasang mata.
Namun ramai orang memandang ia sekadar
sekeping kain yang murah. Ramai juga orang menilai, ia sekadar penutup
kepada wajah supaya ‘tidak dikenali’.
Hakikatnya, sekeping kain itu cukup
mahal. Bukan pada harganya, tapi pada nilainya yang tersendiri. Nilai
yang tersurat, juga nilai yang tersirat.
Bagaikan ada suatu tarikan tersendiri
kepada wanita yang mengenakan sekeping kain itu di wajah mereka. Bukan
tarikan fitnah manusia, sebaliknya tarikan kepada rahmat Allah sehingga
menjadikan mereka mulia.
Tidak mesti ustazah, tidak mesti guru agama. Mulia itu Allah beri kepada mereka yang mengenakannya atas nama Taqwa. Itu yang menjadikan mereka tinggi di mata manusia.
Sudah tentu, bukanlah ketinggian di mata
manusia itu suatu yang dicita-cita, tetapi itulah kurniaan Allah kepada
hamba-hamba yang dipilih-Nya. Allah memuliakan siapa yang Dia mahu, dan
menghinakan siapa yang Dia mahu.
Muslimat yang memilih untuk menutup
wajah mereka agar dirinya lebih terpelihara dari fitnah dunia, akan
dikurniakan Allah akan suatu nikmat kehidupan dunia yang tidak dirasai
oleh sesiapa yang tidak memakainya.
” Saya rasa lebih tenang dan selesa “
” Alhamdulillah..rasa terjaga apabila bergaul dengan manusia “
Selesa, tenang dan bahagia itu letaknya di HATI.
Manusia yang memilih untuk mendekati
Allah dengan wasilah-wasilah kebaikan, umpama mereka menempah
kebahagiaan khusus dengan Allah. Dan Allah berikan kebahagiaan itu
khusus ke dalam hati-hati mereka.
Nampak kolot, tapi hati damai.
Nampak ‘mudah dibuli’ tetapi mendapat penuh penghormatan.
Nampak tak menarik, tapi menarik rahmat dari Tuhan.
BICARA NILAI
Benarlah, nilaian manusia tidak sama dengan nilaian Tuhan.
Sekeping kain itu hanya tinggal sekeping kain yang tiada nilai, kiranya dipakai bukan kerana Tuhan.
Dipakai
kerana ikut-ikutan, atau kerana mahukan penghormatan. Dipakai kerana
mahu menjadi ustazah jadi-jadian, atau semata-mata menarik perhatian
jejaka idaman.
Allah menilai hati,bukan sekeping kain.
Tetapi sekeping kain yang dipakai kerana Tuhan, impaknya sungguh agung melangkaui nilaian insan.
Justeru, keagungan dan nilai yang tinggi itu jangan dipersiakan.
” Saya nak tengok wajah awak, boleh? “
Permintaan seorang lelaki.
Beradab, jika betul kena caranya. Tetapi biadab, jika tidak kena pada caranya.
Bagaimana seorang muslimat yang begitu
menjaga penampilan dirinya dan menyembunyikan wajahnya dari tatapan
lelaki ajnabi, akan menyingkap sekeping kain yang sekian lama menutup
wajahnya untuk ditatap oleh seorang lelaki?
Berat.
Perasaan yang tidak dirasai oleh muslimat yang tidak mengenakan sekeping kain di wajah mereka dalam kehidupan sehari-hari.
Jika memakainya hanya kerana manusia atau untuk menarik minat sang jejaka, apa masalahnya, dengan mudah saja boleh dibuka. Disingkap, dilihat dan ditatap.
Tetapi bergegar singgahsana kehormatan
seorang wanita yang memakainya kerana Allah jika mudah-mudah membiarkan
wajahnya ditatap oleh sang teruna.
Jadi bagaimana?
Pemuda : Bukankah untuk melamar dan
menjadikan isteri itu, harus ditatap wajahnya terlebih dahulu? Nah
sekarang, mengapa berdegil untuk menyingkap sekeping kain itu?
Hawa : Ah, engkau tidak akan faham
betapa besar nilainya sekeping kain itu kepada aku. Sekeping kain yang
telah menjaga perilaku dan tutur kataku saban waktu. Sekeping kain yang
menjadikan aku lebih jujur dengan diriku dan lebih telus dengan Tuhanku.
Dilema.
Kedua-duanya ada hak dan hak tersebut perlu ditunaikan.
Islam terbukti bijak meraikan kedua-dua hak tersebut. Baik di pihak mana pun, mereka tidak akan teraniaya dengan keadilan Islam.
Wahai pemuda, jika benar dirimu
berhasrat melamar dan memiliknya, mampirlah bertemu kedua orang tua yang
telah mendidik dan membesarkannya. Tataplah wajahnya sekira-kira
mendatangkan keinginan kepadamu untuk menikahinya, namun bukanlah
menatap itu tika kamu dan dia berdua-dua.
Wahai gadis yang suci, maruahmu tetap terpelihara. Singkaplah sekeping kain itu di hadapan si pemuda, bertemankan kedua-dua ibu dan bapa.
Mereka pelindungmu di dunia, selagi dirimu belum bergelar isteri kepada
mana-mana pemuda. Sudah tentu, tidak ada tempat yang lebih layak
untukmu menyingkap sekeping kain tersebut melainkan di hadapan ibu dan
bapa.
FITNAH
” Aku melihat bagaimana lemahnya
iman mereka. Sekejap menutup wajah, sekejap membukanya untuk ditatap
sesiapa sahaja. Ada juga yang memakainya sebelum kahwin, tetapi selepas
kahwin membukanya pula. Ada yang pakai di luar negara, tetapi tidak pula
selepas pulang ke Malaysia “
Bersangka baiklah.
Ya.. sebaik-baik amalan adalah yang ikhlas dan berterusan (istiqomah). Tetapi sememangnya secebis kain ini bukan kewajipan.
Itukan hanya suatu amalan untuk melatih jiwa dan mendekatkan diri dengan Pencipta. Atas kerelaan. Bukanlah suatu kewajipan yang mesti untuk semua kaum hawa.
Sekeping
kain itu juga adakala bertujuan
mengelak fitnah dari mata-mata sang jejaka. Apatah lagi jika berada
dalam suasana yang menggalak dan menyuburkan fitnah tersebut. Setiap
diri si pemakai juga mereka memegang hukum yang berbeza pada pemakaian
kain itu. Bergantung pada pegangannya.
Tetapi tika berada di sisi suaminya, ia berbeza.
Tika berada di sisi bapanya, ia berbeza.
Tika berada dalam khalayak ramai tanpa ditemani suami atau bapa, ia juga berbeza.
Apa yang pasti, ia tidak menghilangkan nilai agung pada sekeping kain yang menutup muka.
Nilai itu tetap terpelihara, meskipun dengan cara yang berbeza.
Justeru kenalilah terlebih dahulu
sekeping kain tersebut sebelum mengenakannya di wajahmu yang mulia.
Jangan sampai kain tersebut tidak lekang di muka namun di hatimu cuma
menganggapnya sebagai sekeping kain biasa.
Memakainya, biarlah bernilai ibadah.
Memakainya, biarlah bernilai solehah.
Moga-moga mujahadahmu di dunia meraih
Syurga yang tinggi di akhirat sana. Ia pasti – insyaAllah – kiranya
dirimu benar-benar telus dengan Yang Maha Esa.
Secebis kain, seribu makna..
Moga sama-sama mengerti nilainya..
Rujukan penuh: myilham.com, http://amirulasril.com
Kita dihidupkan hari ini.. Bukan untuk menyambung maksiat semalam..
Melainkan untuk kembali mencari keampunan dan keredhaan Allah..